Powered By Blogger

Khamis, 25 Ogos 2011

DI PENGHUJUNG RAMADHAN


RAMADHAN
MARILAH kita sama-sama meningkatkan rasa ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala apa jua larangan-Nya. Kerana dengan itu kita akan selamat dan berbahagia dari dunia sampai ke akhirat.
Ramadan merupakan bulan yang tinggi darjatnya di sisi Allah Subhanahu Wataala. Ramadan juga penghulu segala bulan sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, melalui sabda baginda yang bererti:-
"Tidak ada bagi kaum muslimin bulan yang terlebih baik dari bulan Ramadan."
Tentang kelebihan Ramadan yang mulia ini, banyak disebutkan di dalam hadis-hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Antaranya Rasulullah Sallalllahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:-
"Barang siapa yang merasa gembira dengan kedatangan bulan Ramadan, maka Allah Subhanahu Wataala akan mengharamkan jasadnya untuk masuk ke dalam neraka."
Demikian juga antara kandungan husbah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada akhir bulan Syaaban yang diriwayatkan oleh Ibnu Huzaimah daripada Salman Radiallahuanhu yang bererti:-
"Wahai manusia sesungguhnya dilindungi kamu dengan bulan yang agung dan penuh berkat, bulan yang di dalamnya terdapat Lailatulqadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan. Suatu bulan di mana Allah mewajibkan puasa pada siangnya dan mendirikan salat pada malam harinya sebagai amalan sunat. Barang siapa yang mengerjakan perbuatan fardu pada bulan itu maka ia seolah-olah mengerjakan 70 perbuatan fardu pada lain bulan."
Puasa adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Ajaran Islam telah meletakkan kedudukan ibadat puasa ini di tempat yang tinggi dan ia merupakan pendidikan perseorangan yang dapat mencetus kesejahteraan di dalam masyarakat. Hasil daripada ibadat puasa itu akan menimbulkan kasih sayang, bantu-membantu sehingga membawa kebahagiaan dan keharmonian di dalam masyarakat. Orang yang benar-benar berpuasa serta menjaga tata- tertib berpuasa akan lahirlah pada dirinya akhlak serta sifat-sifat yang baik.
Allah Subhanahu Wataala telah mewajibkan puasa ke atas umat Islam adalah semata-mata supaya manusia yang beriman ini menjadi hamba-hamba-Nya yang benar-benar bertakwa.
Jelaslah tujuan pokok ibadat puasa yang disyariatkan kepada umat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah menjadikan umat Islam sebagai umat yang bertakwa. Kenyataan inilah yang semestinya kita ketahui yang mana Allah Subhanahu Wataala mendatangkan sesuatu perintah itu bukanlah bertujuan untuk menyusahkan umat, sebaliknya untuk memberi kebaikan kepada umat itu sendiri. Menjadi orang yang bertakwa hasil daripada menjalani ibadat puasa bererti menjadi orang yang dapat melaksanakan setiap suruhan Allah Subhanahu Wataala sama ada yang berupa wajib mahupun yang berupa sunat. Begitu juga menjadi orang-orang yang bertakwa bererti menjadi orang yang dapat meninggalkan segala tegahan serta larangan Allah Subhanahu Wataala sama ada yang berupa haram mahupun makruh.
Menjalani ibadat puasa akan dapat menghapuskan penyakit-penyakit lahir dan batin. Penyakit-penyakit lahir seperti darah tinggi, kencing manis, lemah jantung, sakit buah pinggang dan sebagainya. Begitu juga penyakit-penykit batin (hati) yang keji seperti riyak, takbur, sombong, ujub, kasih kepada dunia, marah, hasad dengki dan sebagainya akan terubat dan terhapus.
Ibadat puasa yang dilaksanakan dengan ikhlas maka balasan pahalanya yang besar akan diterima daripada Allah di akhirat kelak.
Sabda nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bererti:-
"Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramdan kerana iman dan mengharap reda Allah maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu."
Ditinjau daripada aspek puasa itu sendiri, ia merupakan salah satu ibadat yang berdiri di atas dasar-dasar kesabaran. Kerana ia sememangnya mengandungi segala macam bentuk kesabaran, sabar mentaati perintah Allah dan sabar meninggalkan larangan Allah, sabar menghadapi penderitaan lapar dan dahaga serta sabar dengan kelemahan jasmani. Oleh itu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menamakan bulan Ramadan yang mulia itu sebagai bulan kesabaran.
Orang yang berkehendakkan ibadat puasanya itu mendapat penilaian serta keredaan Allah Subhanahu Wataala, hendaklah ia memelihara adab dan tata-tertibnya. Tidak diterima ibadat puasa itu tanpa tata-tertib. Di antara tata tertib yang terpenting ialah memelihara lidah supaya tidak berbicara dusta, mencaci orang, menahan mata dan telinga daripada melihat dan mendengar sesuatu yang tidak dihalalkan oleh syariat.
Begitu juga hendaklah ia memelihara perutnya daripada diisi dengan makanan yang haram atau berupa syubhat. Terutama sewaktu berbuka puasa, wajiblah ia berusaha mencari yang halal menjadi makanan berbuka puasanya. Sebab itu sesetengah ulama salap mengatakan jika kamu berpuasa, perhatikanlah apa makanan kamu sewaktu berbuka dan tempat siapakah kamu berbuka. Hal ini menganjurkan kita supaya berjaga-jaga dan mengambil berat terhadap makanan untuk berbuka. Orang yang berpuasa itu juga hendaklah memelihara setiap anggotanya daripada mengerjakan dosa serta menjauhkan dirinya daripada segala urusan yang tidak berfaedah. Dengan demikian barulah sempurna puasa yang dikerjakannya itu. Kita melihat berapa banyak orang yang berpuasa, berpenat lelah disebabkan lapar dan dahaga, tetapi amat malang ia membiarkan dirinya terjerumus dengan maksiat. Puasa yang demikian hanyalah berlapar dahaga sahaja tanpa mendapat balasan pahala.

 

BANYAKKAN MEMBACA AL-QURAN DI BULAN RAMADAN

MARILAH kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wataala dengan memperbanyakkan amalan ibadat dan kebajikan serta meninggalkan segala larangan agama. Mudah-mudahan kita beroleh rahmat.
Bulan Ramadan dikenal dengan berbagai-bagai nama dan panggilan antaranya: Penghulu segala bulan; Bulan penuh dengan keberkatan dan kelebihan; Bulan memperbanyak ibadat ketaatan; Bulan kesabaran. Peristiwa penting dan masyhur yang terjadi di dalam bulan Ramadan ini ialah Nuzul Al-Quran ataupun penurunan Al-Quran. Kitab suci ini mula diturunkan pada 17 Ramadan sebelum hijrah baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Al-Quran Al-Karim adalah Kalamullah. Kata-kata Allah yang maha agung. Maha benar, bukan cakap siapa-siapa. Kitab suci ini merupakan mukjizat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjadi sumber rujukan dan panduan umat Islam, Al-Quran juga nur (cahaya), hudai (petunjuk), syifa' (penawar) dan rahmat bagi orang-orang mukmin.
Kehebatan Al-Quran itu digambarkan Allah Subhanahu Wataala melalui firman-Nya yang bererti:
"Kalau sekiranya Kami menurunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah."
Di dalam Surah Al-Anfaal ayat 2 yang tafsirannya:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebutkan nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatnya bertambahlah iman mereka kerananya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal."
Daripada ayat suci itu adalah menjadi dalil bahawa Al-Quran itu sungguh agung kerana ia bukan ciptaan makhluk. Dalam hubungan ini Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-Israa' ayat 88 yang tafsirannya:
"Katakanlah: Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan dia, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain."
Dalam perkara ini musuh-musuh Islam cuba mencipta beberapa ayat untuk menandingi Al-Quran, sebagaimana berlaku pada zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam lagi, demikian juga pada hari ini cubaan mereka-reka Al-Quran masih berlaku, umpamanya ditambah lagi nama-nama surah Al-Quran yang baru seperti surah Al-Iman, surah Al-Muslimun,dan bermacam-macam lagi perbuatan musuh dalam meniru dan menghancurkan Al-Quran.
Walau bagaimanapun Al-Quran tidak dapat diubah, baik susunannya ataupun kandungannya. Al-Quran tetap unggul dan terpelihara oleh Allah Subhanahu Wataala hingga bila-bila. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Hijr ayat 9 yang tafsirannya:
"Dan sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya."
Diriwayatkan bahawa Khalifah Umar Al-Khattab Radiallahuanhu yang terkenal dengan bengis dan kejam serta musuh ketat Islam, tiba-tiba berubah menjadi lembut hatinya kerana terpaut dengan bacaan Al-Quran. Apabila sampai kepada ayat-ayat 14 Surah Thaahaa, pemikiran baginda bertukar lantas memeluk Islam. Ayat berkenaan yang tafsirannya:
"Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan yang hak selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah salat untuk mengingati Aku."
Di bulan Ramadan yang mubarak ini kita banyakkanlah membaca Al-Quran sehingga khatam, bukan sahaja di dalam sembahyang maka di luar sembahyang tidak terikat dengan waktu atau tempat, sama ada melihat mashab ataupun tidak, di waktu malam atau siang.
Ganjaran pahala amat besar seperti dijelaskan dalam hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam diriwayatkan oleh Al-Hakim bermaksud:
"Barang siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (Al-Quran) maka ia mendapat pahala untuk tiap huruf satu kebajikan dan tiap-tiap satu kebaikan itu berlipat ganda sepuluh kali ganda, saya tidak berkata alif, lam, mim, itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf."
Diriwayatkan lagi oleh Addailami yang bermaksud:
"Jika seorang telah mengkhatamkan Al-Quran, maka dibacakan doa-doa oleh enam puluh ribu malaikat ketika khatam itu."
Akhirnya, marilah kita muliakan Al-Quran itu, jadikan ia bacaan dan amalan seharian, ajaklah isteri, anak-anak dan keluarga supaya jinak dengan Al-Quran, mudah-mudahan iman kita meningkat serta kehidupan kita beroleh petunjuk hidayah dan berkat Al-Quran Al-A'zim.
Surah Al-Baqarah ayat 185 yanga tafsirannya:
"Bebarapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (di permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu pembeza antara yang hak dan yang batil."

“Panjangkanlah demi Sunnah Rasul”



















Al-Madina.S5.com – copy & edit by aku 20hb Safar 1424/22hb April 2003 (Selasa)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan