Syarif Muhammad al-Baghdadi adalah seorang tokoh yang sangat penting dalam penyebaran Islam di Alam Melayu. Beliau merupakan keturunan Saidina Hasan daripada sebelah bapanya dan Saidina Husin daripada sebelah ibunya. Diriwayatkan bahawa Syarif Muhammad dipercayai telah meninggalkan takhtanya dan kerajaan Baghdad untuk beruzlah di Makkah. Setelah sekian lama berada di Makkah, beliau berangkat menuju ke Hadratulmaut di Yaman dan seterusnya ke Nusantara iaitu di Hulu Terengganu. Di Hulu Terengganu, beliau menjalankan kerja-kerja dakwah Islam dengan gigih kepada masyarakat dan dikatakan memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Seri Wijaya Majapahit. Setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Hindu, beliau telah mendirikan sebuah kerajaan Islam dan seterusnya membina sebuah pusat pemerintahan yang dinamakan “Kota Tamir” yang terletak di kawasan seluas 300 ekar.
Ramai di kalangan para pembesar dan raja-raja Hindu yang memeluk Islam lalu menjadi pengikut setia kepadanya. Peristiwa ini berlaku kira-kira 700 tahun dahulu. Pemerintahan dan perjuangan Syarif Muhammad al-Baghdadi kemudiannya diteruskan oleh zuriat keturunannya yang bernama Syarif Abdul Qahar bin Syarif Muhammad (Tok Paloh)
kemudian cucunya Syarif Abdullah bin Syarif Qahar (Tok Pauh) dan seterusnya cicitnya Syarif Abdul Malik yang juga disebut Syeikh Abdul Malik lebih dikenali dengan gelaran Tok Pulau Manis. Kesemua zuriat keturunan Syarif Muhammad al-Baghdadi adalah wali Allah dan dimuliakan Allah dengan diberikan pelbagai karamah. Diantara warisnya yang paling menonjol ialah cicitnya iaitu Tok Pulau Manis. Tok Pulau Manis diriwayatkan pernah menubuhkan ‘Kota Pulau Manis’ dan mendirikan institusi pendidikan agama yang sangat terkenal di Alam Melayu pada ketika itu. Anak Tok Pulau Manis yang bernama Siti Zubaidah dikatakan telah berkahwin dengan Tun Jenal yang kemudiannya ditabalkan menjadi raja di Tanjung Baru, Hulu Terengganu dan bergelar Sultan Zainal Abidin 1.
Satu-satunya peninggalan terbesar Syarif Muhammad al-Baghdadi ialah sebuah batu bersurat yang dikenali dengan nama Batu Bersurat Terengganu. Tulisan yang tercatat pada permukaan hadapan batu bersurat tersebut adalah seperti berikut;
``Rasulullah dengan yang orang sahabi mereka sekalian, asa pada Dewata Mulia Raya; memberi hamba meneguhkan agama Islam dengan benar bicara derma, meraksa bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya di benuaku ini. Pebantu agama Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wa Sallam - Raja Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam behumi. Pebantu itu fardu pada sekalian Raja Mandalika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar bicara, berbajikan betul pebantu itu maka titah Seri Paduka Tuan mendudukkan tamra ini di benua Terengganu adi pertama ada Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan (Syarathan) di sasanakala baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua.''
Catatan yang terdapat pada batu itu tidak sekadar mengandungi pernyataan hukum-hakam seperti yang disebut dalam Al-Quran misalnya hukuman kesalahan zina iaitu direjam bagi yang telah berkahwin dan dipalu seratus kali sebatan bagi yang masih bujang tetapi turut meliputi bidang falak (astronomi). Unsur falak ditemui didalam catatan tersebut berdasarkan kepada frasa ``adi pertama ada Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan (Syarathan) di sasanakala baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua''. Ramai pengkaji cuba menyelidik maksud frasa ini tetapi gagal sehinggalah seorang pemikir besar Islam dirantau ini berjaya memecahkan kebuntuan tersebut. Beliau ialah Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Dalam kajiannya, beliau menyatakan bahawa maksud frasa diatas ialah Jumaat pertama dalam bulan Rejab tahun 702 Hijrah serentak dengan timbulnya buruj Saratan, tatkala perintah agama (sasanakala) yang mengisytiharkan pemahatan hukum Islam di atas Batu Bersurat itu oleh pemerintah Terengganu pada waktu itu. Satu kajian menarik tentang perkara tersebut seperti yang dicatat oleh Nor Azam Mat Noor ialah kaitan frasa tersebut dengan peristiwa falak.
SUMBER DARIPADA :ikantongkol09-tokoh.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan